PETALING JAYA – Media sosial milik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak malam tadi dibanjiri ribuan ucapan terima kasih dan doa rakyat Malaysia yang meluahkan rasa syukur atas kejayaan membawa pulang 23 sukarelawan negara daripada tahanan rejim Israel.
Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Anwar yang dianggap memainkan peranan penting dalam rundingan diplomatik sehingga membolehkan kesemua sukarelawan negara dalam Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dengan selamat.
“Terima kasih PMX kerana menjadi suara rakyat Palestin di peringkat antarabangsa. Kami bangga dengan ketegasan dan keberanian Malaysia mempertahankan kemanusiaan,” kata Noor Shahidi.
Seorang lagi pengguna Facebook, Ayuni pula menyatakan, usaha ditunjukkan Perdana Menteri bukan sahaja berjaya menyelamatkan rakyat Malaysia, malah memperlihatkan ketegasan Malaysia dalam memperjuangkan hak penduduk Palestin.
“Malaysia tidak tunduk pada kezaliman Israel. Kami bangga menjadi rakyat Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim atas contoh pemimpin negara yang hebat dalam bantu saudara Islam kita di Palestin,” katanya.
“Terima kasih PMX dan Kerajaan Madani,” komen Faris Ahmad.
Kejayaan membawa pulang kesemua sukarelawan itu juga disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang memuji ketegasan serta keprihatinan Perdana Menteri dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diutamakan.
“Perdana Menteri menggunakan segala hubungan diplomatik yang ada untuk menjamin kebebasan dan keselamatan rakyat Malaysia.
“Ini bukan tugas mudah memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, video ketibaan para sukarelawan negara di Lapangan Terbang Istanbul pada pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia turut tular di media sosial, memaparkan suasana sebak dan syukur mereka selepas hampir tiga hari ditahan tentera rejim Israel.
Ramai juga tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada wira-wira Sumud Flotilla dan barisan sukarelawan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Terima kasih wira GSF . Kalian telah buktikan keberanian rakyat Malaysia yang tidak gentar menegakkan keadilan untuk Palestin,” kata Shukri.
Tidak ketinggalan, rakyat Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan pemimpin negara lain yang memainkan peranan penting dalam memudahkan proses pembebasan kesemua 23 sukarelawan negara.
Kejayaan pembebasan 23 sukarelawan Malaysia ini sekali lagi mengukuhkan pendirian Malaysia dalam isu Palestin, selain memperlihatkan kemampuan diplomasi negara di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim yang terus lantang memperjuangkan keadilan serta hak kemanusiaan di peringkat dunia. – KOSMO! ONLINE