ABU terkejut apabila mendapati lelaki yang solat di dalam surau usang di hujung kampungnya tidak mempunyai mata, hidung dan mulut. – ilustrasi Shah Hasan

Lelaki tanpa wajah di surau kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERISTIWA menyeramkan tersebut masih segar dalam ingatan lelaki itu. Anak kelahiran satu negeri di selatan tanah air itu hanya memperkenalkan dirinya sebagai Abu.

Menceritakan kisah seramnya, Abu yang tidak pernah percaya dengan hantu atau perkara-perkara mistik mengakui terkejut apabila berdepan peristiwa menyeramkan tatkala pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha empat tahun lalu.

Ujar Abu, beberapa hari sebelum sambutan hari raya, dia memulakan perjalanan pulang ke kampungnya. 

Waktu maghrib sudah masuk sekitar 20 minit, lalu Abu yang sudah pun memasuki susur berhampiran kampungnya nekad untuk berhenti solat di sebuah surau kecil yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kediamannya.

Surau itu agak usang, dengan cat dinding yang pudar serta lampu yang berkelip-kelip. 

Abu menolak pintu kayu yang berkeriuk, lalu melangkah masuk.

“Alhamdulillah, sempat juga saya solat di situ, sementara waktu maghrib masih berbaki,” ujar Abu menyuarakan rasa lega menemukan surau.

Di dalam surau, kelihatan seorang lelaki sudah berada di saf hadapan, sedang rukuk. 

Abu hanya sempat menjeling sekilas, sebelum mengambil wuduk di kolah kecil di tepi surau. Airnya terasa dingin, seolah-olah mencengkam tulang.

Selesai berwuduk, Abu berdiri di saf kedua. Dia mengangkat takbir dan memulakan solat berasingan. 

Bacaan dari lelaki di hadapan kedengaran perlahan tetapi mendayu, membuat bulu roma Abu meremang. Ada sesuatu yang aneh, namun Abu cuba menumpukan pada solatnya.

Saat Abu sujud, dia terasa satu hembusan angin dingin melalui tengkuknya. Bau yang tengik, seperti bau bangkai, mula memenuhi ruang. Abu cuba menenangkan diri. 

“Mungkin ini sekadar perasaan saya,” katanya yang meneruskan solat sehingga selesai.

Usai memberi salam, Abu mendongak. Lelaki itu dilihat berdiri di hadapan, tegak tanpa bergerak. 

Abu berkata, dia juga terkejut kerana baru perasan tubuh lelaki itu cukup tegap dan amat tinggi, jauh lebih tinggi daripada ketinggian lelaki normal.

“Assalamualaikum, pakcik,” saya memberanikan diri menyapa lelaki itu.

Tiada sahutan. Lelaki itu perlahan-lahan menoleh.

Ketika wajahnya terbias cahaya lampu surau, jantung Abu bagai terhenti. Lelaki itu tiada wajah! kosong, licin, seolah-olah kulit putih pucat menutup segalanya. Tiada mata, tiada hidung, tiada mulut.

Abu kaku, hanya mampu beristighfar berkali-kali dengan suara yang bergetar. Lelaki itu kemudian kembali menunduk, seolah-olah menyambung solat, namun gerakannya perlahan seperti tidak berpijak di bumi.

Dengan tubuh menggigil, Abu bingkas bangun. Dia berlari keluar dari surau tanpa menoleh ke belakang. Bunyi derap langkahnya bergema dalam kegelapan.

Setibanya di rumah, Abu terus menceritakan perkara itu kepada ibunya yang kebingungan melihat wajah anak bujangnya itu yang pucat lesi.

“Saya beritahu ibu bahawa di surau usang hujung kampung itu, ada orang solat, namun tiada wajah,” katanya.

Sejak malam itu, Abu tidak lagi singgah di surau usang tersebut. 

Malah, setiap kali melintasi jalan itu menjelang malam, dia akan mempercepat langkah. Bayangan lelaki tanpa wajah itu kekal menghantui ingatannya terutama setiap kali pulang ke kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN