KEJAYAAN bintang hoki remaja negara, Adib Amsyar dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawananan pada Piala Asia bawah 18 tahun (B-18) baru-baru ini menjadi bukti kerja keras sebuah kelab kecil diasaskan seorang guru muda mampu melahirkan bintang masa depan.
Adib yang mula berlatih sejak di sekolah rendah bersama Anak Rimau HC (ARHC) kini menjadi simbol kejayaan projek pembangunan akar umbi hasil inisiatif pengasas kelab berkenaan, Muhamad Amirol Ariff Baharun.
Amirol Ariff, 34, yang juga seorang guru sekolah rendah berkata, kelab tersebut ditubuhkan pada 2015 kerana minat mendalamnya terhadap hoki selain menyediakan platform latihan berintensiti tinggi sejajar dengan tuntutan era permainan moden.
“Saya wujudkan Anak Rimau HC kerana minat saya sejak dulu untuk meningkatkan kemahiran hoki dari peringkat akar umbi. Objektifnya untuk memberi peluang kepada semua pemain mendapat latihan berkualiti, berintensiti tinggi dan selaras dengan dunia hoki moden,” katanya.

Keistimewaan ARHC terletak pada barisan jurulatihnya yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan dan antarabangsa, malah sebahagian besar daripada mereka juga bergelar guru.
“Kami ada jurulatih seperti bekas pemain kebangsaan Faizal Saari dan Firhan Ashari. Semua jurulatih dari peringkat awal hingga ke penjaga gol berpengalaman luas sekurang-kurangnya di peringkat MSSM,” jelasnya yang mesra disapa sebagai Cikgu Arep.
Selepas hampir sedekad, usaha itu mula membuahkan hasil apabila Adib, salah seorang pelatih yang dibimbing sejak kecil, kini berada dalam skuad remaja kebangsaan.
“Salah seorang pemain saya latih sejak 2015 ialah Adib Amsyar, penjaga gol yang kini bersama skuad remaja kebangsaan. Pencapaian ini membuktikan bahawa latihan berkualiti mampu membuka jalan ke pentas lebih tinggi,” ujarnya.

Selain Adib, seorang lagi pelapis mula mencuri perhatian ialah Tengku Alina Adriana Tengku Asmawi, pemain Kuala Lumpur B-12 yang menjalani latihan bersama ARHC.
“Salah seorang pelatih kami, Tengku Alina Adriana dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dan pemain terbaik Kejohanan MSSM Bawah 12 Perempuan 2025. Kejayaan ini menunjukkan ARHC boleh menjadi pusat rujukan untuk semua peringkat umur,” katanya.
ARHC juga berharap pada masa depan mampu menjadi pusat tumpuan pemain dari seluruh negara kerana mengamalkan dasar pintu terbuka tanpa mengira negeri, sekolah atau kelab.
“ARHC sentiasa terbuka kepada semua pemain untuk datang berlatih bersama. Kami tidak mengikat sesiapa. Malah, kalau ada pemain dari kelab lain yang mahu menyertai sesi kami, kami sangat mengalu-alukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE