MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menganggap mereka kini kembali berada pada landasan tepat untuk meraih sesuatu bagi mengubati kekecewaan musim lalu.
Biarpun seri 2-2 dengan AS Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini, namun Guardiola gembira kerana mereka sudah mengharungi enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah.
Kali terakhir The Citizens tewas ketika dikejutkan kekalahan 1-2 di tangan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 31 Ogos lalu.
Justeru, Guardiola merasakan City mampu meneruskan rentak cemerlang itu apabila bertandang ke Stadium Amex menentang Brentford malam ini.
“Apa yang paling menggembirakan saya adalah tiada kekalahan dalam enam perlawanan. Sebelum rehat antarabansa yang lalu, kami kalah dua aksi berturut-turut.
“Jadi saya anggap ini memuaskan tetapi kami perlu teruskan tingkatkan diri. Kami tak boleh cepat berpuas hati dan selesa dengan apa yang kami lakukan sekarang.
“Saya mahu kami menutup saingan liga sebelum rehat dua minggu selepas ini dengan kemenangan. Saya percaya kami boleh konsisten meraih keputusan positif,” katanya.
City tentunya mengharapkan kepada penyudah tajam penyerangnya, Erling Haaland yang kini sudah meledak 11 gol daripada lapan aksi dalam semua kejohanan termasuk enam lapan jaringan EPL. – AGENSI