POKOK SENA – Sepasang suami isteri terpaksa memanjat dan duduk pada bingkai tingkap selama lebih tiga jam selepas rumah didiami mereka di Kampung Kolon, dalam mukim Jabi di sini dilanda banjir kilat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, pasangan terbabit, Abd. Rahim Arifin, 65, peniaga air kelapa pandan dan Norhayati Darus, 58, cemas apabila air memasuki rumah dengan deras selepas hujan lebat berpanjangan selama tiga jam.
Menurut Norhayati, air naik dengan cepat sehingga paras dada menyebabkan dia dan suami terpaksa duduk di atas bingkai tingkap rumah.
“Kami tidak sempat nak selamatkan barang di dalam rumah yang mana hanya televisyen, beberapa tilam dan dokumen penting terselamat kerana berada di tempat tinggi.
“Keadaan waktu itu memang cemas sebab air naik cepat, tambahan dengan keadaan saya yang sukar bergerak kerana lutut sakit, kesan daripada pembedahan tulang belakang beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, dia dan suami lega apabila anak lelaki mereka datang kira-kira sejam kemudian selepas meredah jalan yang turut dinaiki air sebelum banjir mula surut pada pukul 1 pagi.
“Banjir kali ini lebih teruk berbanding kejadian pada Oktober 2021. Kami memang tak sangka rumah dilanda banjir sebegini teruk, semua barang rosak ditenggelami air,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, seramai 200 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Pokok Sena sehingga pukul 12 tengah hari ini.
“Kesemua mangsa daripada 50 keluarga yang ditempatkan di PPS itu adalah dari Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu dan Kampung Pulau Nyor,” katanya.- KOSMO! ONLINE