KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GFS) akan dibawa pulang dengan kadar segera.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim memaklum perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
“Alhamdulillah mereka telah menerima memorandum kita. Semalam kita rancang untuk hantar tapi (kedutaan enggan terima).
“Pihak kedutaan AS beri jaminan seluruh rakyat Malaysia yang kini sedang ditahan Israel akan pulang ke negara kita dengan kadar segera dan keselamatan akan diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Sumud Flotilla, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan wakil Kedutaan AS bersetuju menerima memorandum bantahan berhubung tindakan Israel menahan aktivis misi GSF.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, penyerahan memorandum itu dibuat sekitar pukul 3 petang tadi, namun hanya dua individu dibenarkan masuk ke premis berkenaan.
Memorandum itu antara lain menuntut pembebasan aktivis GSF yang ditahan Israel termasuk menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin. – KOSMO! ONLINE