fbpx
HOE YEAN

Hoe Yean mahu naik podium lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERENANG sensasi negara, Khiew Hoe Yean terus menyerlah di pentas antarabangsa apabila meraih pingat gangsa acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India.

Atlet berusia 23 tahun itu mencatat masa tiga minit 52.69 saat (s) di Kompleks Sukan Veer Savarkar, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga.

Bagaimanapun, catatan tersebut masih belum mampu mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 3:47.38s yang dicipta pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, Julai lalu.

Lebih manis, ia merupakan pingat kedua buat Hoe Yean pada kejohanan sama selepas turut membantu kuartet 4x200m gaya bebas meraih gangsa sehari sebelumnya.

“Kejohanan ini hanyalah perlumbaan dalam musim, jadi kami tidak membuat persiapan. Jadi apabila berjaya mencatat masa terbaik dalam musim ini, ia sudah cukup baik daripada apa yang saya lakukan di Terbuka Malaysia,” kata Hoe Yean.

Juara berganda Sukan SEA itu mengakui dia sebenarnya tidak meletakkan sasaran podium di Ahmedabad, sebaliknya mahu menguji kemampuan fizikal sebelum fokus ke Sukan SEA akan datang.

“Saya sebenarnya tidak terlalu memikirkan tentang podium. Saya hanya mahu menguji had diri, di mana tahap sebenar kondisi sekarang, supaya saya dan jurulatih dapat menilai apa yang perlu diperbaiki,” ujarnya.

Hoe Yean dan jurulatihnya, Eric Anderson kini memberi tumpuan kepada strategi perlumbaan baharu termasuk mengubah kelajuan lebih awal bagi memastikan peluang lebih besar untuk menamatkan saingan di kedudukan podium.

“Kami berbincang tentang kemungkinan untuk menukar kelajuan lebih awal supaya dapat berada di kedudukan podium lebih awal, bukannya menunggu sehingga 25 atau 50 meter terakhir.

“Jika saya tingkatkan kelajuan seawal 100m terakhir, peluang untuk meraih sesuatu yang lebih baik daripada gangsa pasti lebih tinggi,” jelasnya.

Selain taktikal, Hoe Yean turut mengakui kelemahan teknikal pada bahagian turn masih perlu diperbaiki dan beberapa latihan khusus telah dirangka untuk mengatasi isu tersebut.

“Saya sedar sebenarnya turn saya masih sangat lemah. Jadi saya akan berusaha memperbaikinya. Saya dan Eric telah susun beberapa latihan khusus untuk memperbaiki bahagian itu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI