PETALING JAYA – Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengumumkan pelantikan Michael Kinross sebagai Ketua Jurulatih Renang Kebangsaan berkuat kuasa 1 Mei ini dalam usaha memperkukuh program prestasi tinggi negara.
Kinross hadir dengan latar belakang kukuh selepas berkhidmat di University of Pittsburgh dalam program NCAA Divisyen I di bawah kendalian jurulatih berpengaruh, Chase Kreitler.
Sebelum itu, dia menghabiskan lapan tahun bersama kelab elit Sandpipers of Nevada di Amerika Syarikat di bawah bimbingan jurulatih terkenal, Ron Aitken yang terkenal melahirkan ramai perenang bertaraf Olimpik.
Setiausaha Agung MAS, Andy Low Siak San menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan sistem prestasi tinggi yang sedang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen kami untuk membina sistem prestasi tinggi yang sebenar bagi renang Malaysia. Kami telah melabur tiga tahun kebelakangan ini untuk meletakkan struktur, laluan pembangunan dan standard yang betul dan langkah seterusnya adalah memastikan kami mempunyai kepimpinan yang tepat untuk menghasilkan keputusan.
“Pengalaman Michael dalam membangunkan atlet dari peringkat remaja ke tahap antarabangsa selari dengan keperluan renang negara ketika ini. Fokus kami jelas untuk meningkatkan standard, mengukuhkan kelompok pelapis dan memberikan prestasi konsisten di Sukan SEA serta pentas lebih besar,” katanya.
Dalam masa sama, pengarah teknikal MAS, Megan Oesting menjelaskan pemilihan Kinross dibuat secara teliti berdasarkan keperluan spesifik program negara.
Beliau menegaskan pengalaman Kinross dalam sistem pembangunan elit serta keupayaannya membentuk perenang muda ke tahap antarabangsa menjadi faktor utama pemilihan.
Kinross yang bakal memulakan tugas pada Mei ini menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya selain bertekad membantu meningkatkan standard renang negara.
“Saya berbesar hati menerima peluang untuk berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih pasukan renang kebangsaan Malaysia. Ini merupakan langkah besar dalam karier saya dan saya teruja untuk membantu membina program serta menyumbang kepada perkembangan renang Malaysia berdasarkan pengalaman yang saya peroleh sepanjang karier dalam sukan ini,” katanya.
Pelantikan Kinross hadir pada fasa penting ketika MAS giat memperkukuh rangka kerja prestasi tinggi termasuk sistem Malaysia On Track (MOT) serta laluan pembangunan atlet yang lebih tersusun, dengan sasaran meningkatkan pencapaian di Sukan SEA dan kejohanan utama dunia. KOSMO! ONLINE














