GUA MUSANG – Kegiatan sindiket yang melombong emas secara haram di Sungai Kelaik di sini tumpas selepas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur kawasan tersebut semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4 pagi menerusi Op Bersepadu Khazanah itu turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia dan pemilik jentera yang menjalankan kegiatan tersebut.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pemeriksaan di kawasan sungai itu mendapati dua lelaki tempatan dan seorang Orang Asli berada di lombong tersebut.
Menurutnya, selain itu, lapan warga Indonesia termasuk seorang wanita yang turut bekerja di kawasan itu gagal menunjukkan lesen pelombongan emas yang sah.
“Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 21 hingga 43 tahun. Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dipercayai pemilik dan ketua kegiatan perlombongan haram itu turut ditahan.
“Tiga warga Indonesia yang ditahan didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan manakala lima yang lain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, sebuah jengkaut, sebuah mesin pam air dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melombong emas dianggarkan bernilai RM520,000 turut dirampas.
Menurutnya, kesemua suspek bersama barangan rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Enakmen Mineral 2001 dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE