PETALING JAYA – Pelakon Yatt Hamzah menggesa pemimpin seluruh dunia termasuk Malaysia bersatu memberi tekanan kepada rejim zionis terutama berhubung penahanan beberapa sukarelawan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk suaminya iaitu Mohd Zulfadhli Khiruddin di perairan antarabangsa tengah malam tadi.
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah merayu kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas bagi mendesak Israel segera membebaskan suaminya dan sukarelawan lain yang ditahan tanpa sah tengah malam tadi (waktu Malaysia).
“Mohon kerajaan kita dan seluruh dunia bersatu menekan penjajah Israel melepaskan semua tahanan yang diculik tanpa sah di perairan antarabangsa.
“Mereka hanya bawa barangan asas dan tidak logik untuk dikepung dan ditahan.
“Harap semua pihak bangkit bersuara, tekan pihak rejim zionis. Ini satu jenayah antarabangsa yang sangat besar dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu siaran langsung dalam TikTok hari ini.
Berkongsi mengenai suaminya, Yatt mendedahkan Zulfadhli sebelum ini menitipkan wasiat tiga hari lalu.
Meski berdebar menanti berita mengenai Zulfahdli, Yatt melihat situasi yang berlaku ketika ini sebagai ujian buat dirinya, suami dan orang ramai.
“Tiga hari lalu, suami ada tinggalkan pesanan dan kongsi tentang wasiat dengan saya. Tidak tahulah dia bergurau atau sebaliknya.
“Katanya, kalau jadi apa-apa, tolong jaga ibu bapanya dan anak-anak. Saya lebih kepada tertanya-tanya sebab ini kali pertama dia tinggalkan wasiat.
“Tapi saya cakap kepadanya, dia kena balik dengan selamat ke tanah air dan pesan jangan risaukan keadaan di sini, semuanya dalam jagaan Allah. Dia hanya perlu fokus pada misi dan jaga kesihatan,” katanya lagi.
Tambah Yatt lagi, dia sering berpesan kepada Zulfadhli agar sentiasa ingat Allah sepanjang misi tersebut.
“Saya selalu ingatkan dia untuk berzikir, baca ayat al-Quran dan surah Yasin ayat ke-9. Jangan pernah tinggal, setiap hari kena baca.
“Selain itu, saya selalu minta dia ‘renew’ niat ke sana setiap hari dengan ingat apa tujuan asal.
“Saya juga pesan supaya jangan rasa diri wira atau penyelamat sebab ada perhatian seluruh dunia. Misi ini untuk Gaza dan jangan terbuai dengan benda duniawi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Yatt menyeru semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan sukarelawan GSF selain meminta agar diadakan solat hajat bagi memohon pelindungan daripada Allah.
“Teruskan berdoa dan kongsi segala maklumat tentang Palestin.
‘Jangan berhenti bercakap mengenai Gaza,” kongsinya.
Setakat ini seramai 15 rakyat Malaysia termasuk Zulfahdli, Zizi Kirana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi yang menyertai misi kemanusiaan GSF dilaporkan ditahan secara tidak sah tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dan dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE