RAUB – Pelumba pasukan TotalEnergies, Joris Delbove mempamerkan kayuhan cukup bertenaga apabila berjaya menawan peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Temerloh ke Bukit Fraser hari ini.
Pada perlumbaan dengan jarak sejauh 123.1 kilometer (km) meliputi tiga zon pecutan serta dua zon pendakian itu, Delbove menamatkan saingan menerusi catatan masa 3 jam 0 minit 25 saat (s).
Lebih manis, kemenangan itu juga membolehkan dia merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan (GC) daripada pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli yang tidak menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas.
Delbove berkata, dia dan pasukan hadir ke LTdL kali ini dengan sasaran untuk membawa pulang gelaran sebagai juara keseluruhan, namun kekal realistik dengan peluang tersebut kerana perlu bersaing dengan pelumba-pelumba lain.
“Kami datang ke sini dengan objektif untuk memenangi keseluruhan (GC) dan terutamanya peringkat ini. Memang kami bercita-cita tinggi tetapi tetap realistik kerana saingannya sangat kuat.
“Saya tahu ia akan menjadi satu tugas yang sangat rumit tetapi masih berjaya melakukannya hari ini. Saya sangat gembira dengan keputusan ini dan harap ia kekal hingga ke akhir saingan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Mengiringi Delbove di podium semalam adalah pelumba pasukan Uno-X Mobility, Anders Halland Johannessen yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Yannis Voisard dari pasukan Tudor Pro Cycling.
Sementara itu, Delbove turut menjelaskan, dia memanfaatkan peluang terbaik pada 3km terakhir untuk melakukan ‘breakaway’ selepas melihat pelumba-pelumba lain mula dibelenggu keletihan.
“Saya rasa semua orang sudah mula rasa letih pada 3km terakhir. Saya berada di belakang Johannessen dan Voisard sebelum mengambil keputusan untuk memecut hingga ke garisan penamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE