HULU TERENGGANU – Produk berasas buluh tempatan bernilai RM18.91 juta berjaya dieksport pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, ia sebahagian daripada nilai eksport industri perkayuan tempatan yang berjumlah keseluruhan RM22.92 bilion dalam tempoh sama.
“Secara keseluruhan industri perkayuan termasuk buluh merupakan penyumbang ketiga terbesar dalam sektor agrikomoditi negara.
“Sektor tersebut mencatat nilai eksport keseluruhan RM186.5 bilion pada tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia peringkat kebangsaan di Pusat Latihan Industri Pembalakan Terengganu (TTITC) di sini hari ini.
Foong Hin berkata, nilai eksport produk buluh tempatan bagaimanapun merosot 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding RM20.09 juta yang diraih pada tahun 2023.
Beliau berkata, sebagai perbandingan, nilai import produk buluh pula meningkat kepada RM126.73 juta pada 2024 berbanding RM108.54 juta pada tahun sebelumnya.
“Ia menunjukkan industri buluh negara masih mempunyai ruang dan berpotensi besar untuk berkembang bagi menyokong industri perkayuan negara.
“Kita mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 merupakan tempatan yang terbukti mempunyai pertumbuhan pantas serta memiliki kekuatan mekanikal dan daya tahannya,” katanya.
Foong Hin berkata, industri buluh turut mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran global dengan nilai pasarannya pada tahun ini diunjur menjangkau RM314.16 bilion. – KOSMO! ONLINE