SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan gelaran rasmi kepada menantu baginda, Afzaa Fadini Abdul Aziz, selepas selamat dinikahkan dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Afzaa Fadini dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri.
“Sehubungan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor ialah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Upacara penganugerahan darjah kebesaran itu dilaksanakan selepas pasangan diraja berkenaan selesai diijabkabulkan dalam satu istiadat secara tertutup yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Ia disahkan melalui bunyi 11 das tembakan meriam yang dilepaskan pada 10.05 pagi.
Dalam istiadat perkahwinan Diraja Selangor, jumlah das tembakan kehormatan simbolik itu menandakan ijab kabul pasangan Diraja selamat dilangsungkan.- KOSMO! ONLINE