JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan telah menganiaya seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anak saudaranya sendiri di Pontian, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz Aresah, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu telah menganiayai kanak-kanak terbabit di sebuah rumah di Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pada pukul 2.30 petang, 16 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Zuhainie Zull Kafli tidak mencadangkan sebarang jaminan diberi terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 6 November depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman selain menunggu laporan perubatan..-KOSMO! ONLINE