fbpx
SYAFIQ

Sukan SEA Thailand medan tebus prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI tidak konsisten skuad taekwondo negara musim ini menimbulkan tanda tanya menjelang Sukan SEA Thailand 2025 termasuk tonggak utama, Muhammad Syafiq Zuber yang kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan hatrik pingat emas.

Syafiq yang muncul juara edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023 mengakui musim ini tidak sebaik tahun lalu selepas kem negara gagal menampilkan prestasi mantap dalam beberapa kejohanan utama.

“Memang ada cabaran musim ini. Pencapaian terbaik hanya layak ke suku akhir Sukan Universiti Dunia (WUG),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, atlet berusia 25 tahun itu tetap optimis apabila menegaskan latihan intensif selama dua minggu di Korea bersama 11 atlet dan dua jurulatih akan menjadi platform penting untuk memperbaiki kelemahan sebelum turun ke gelanggang di Bangkok hujung tahun ini.

“Insya-Allah saya cuba kekalkan pingat emas dan buat yang terbaik untuk harumkan nama Taekwondo Malaysia. Latihan di Korea ini akan jadi persiapan utama kami,” jelasnya.

Terdahulu, Syafiq merupakan antara penyumbang utama pingat emas kem negara apabila menutup kempen di Phnom Penh dengan emas ke-30 kontinjen Malaysia.

Selain itu, dia turut menamatkan penantian 16 tahun emas bagi acara kyorugi di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia.

Berdasarkan reputasi itu, Syafiq sedar harapan diletakkan di bahunya cukup besar, namun mengakui konsistensi akan menjadi kunci utama sekiranya mahu merealisasikan impian hatrik emas di Bangkok nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI