Tanjung Pinang terletak tidak jauh dari sempadan Malaysia melalui perairan Johor. Dari Terminal Feri Stulang Laut, Johor, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira tiga jam dengan feri untuk tiba di Jeti Tanjung Pinang.
Jadi tidak hairanlah, ramai pemancing dari Malaysia dan Singapura enggan melepaskan peluang memancing di perairan Tanjung Pinang yang kaya dengan terumbu karang, sekali gus menjadi habitat utama kepada pelbagai spesies ikan.
Walaupun proses memasuki Indonesia agak ketat dan memerlukan beberapa urusan seperti pasport, pembelian tiket feri serta kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk membawa pulang ikan, namun ia tidak menjadi halangan kepada pemancing untuk merasai pengalaman memancing di sini.
Perjalanan
Saya bersama 11 orang pemanÂcing lain bertolak dari Rawang, Selangor menuju ke Terminal Feri Stulang Laut.
Kami telah menempah tiket feri awal kerana tarikh trip jatuh pada musim cuti sekolah. Kami harus melepasi proses pelepasan di imigresen dan menaiki feri ke Tanjung Pinang yang mengambil masa sekitar tiga jam.
Setibanya di Terminal Feri Tanjung Pinang, wakil agensi bot memancing telah menyediakan kenderaan untuk mengangkut barangan kami ke bot yang diparkir tidak jauh dari jeti.
Bot Wisata Bahari V
Di jeti, tekong Pak Akob sudah sedia menanti di bot miliknya. Awak-awak bot bertungkus lumus memunggah barangan kami dari lori ke bot, semuanya beres diselesaikan pihak agensi.
Selepas selesai memindahkan barangan, satu taklimat keselamatan dan sesi pengundian tapak memancing di atas bot dijalankan.
Kemudian, bermulalah perjalanan kami ke lokasi pancingan pertama yang mengambil masa kira-kira 10 jam.
Cuaca yang baik membolehkan kami menyiapkan kelengkapan memancing. Dalam perjalanan, tekong turut berhenti di satu lokasi untuk mendapatkan umpan ikan hidup menggunakan apollo.
Antara umpan hidup yang diperolehi adalah ikan sardin, selar dan kembung.
Sepanjang perjalanan juga, awak-awak bot menyediakan makan malam untuk kami. Pendek kata semuanya tersedia lengkap.
Setibanya di lokasi pancingan pertama, Pak Akob menyarankan kami untuk memancing dasar menggunakan ‘ranggong’ (spreader) dengan perambut sepanjang lebih kurang dua meter dan umpan selar hidup. Kedalaman dasar di lokasi ini sekitar 60 meter dengan arus pasang besar laju yang memerlukan penggunaan batu ladung seberat 500 gram.
Hasilnya, Ariff menjadi orang pertama menaikkan ikan kaci. Di lokasi pertama ini sahaja, kami berjaya menaikkan lima ekor ikan kaci dengan purata berat antara tiga hingga lima kilogram (kg) seekor.
Malam pertama berlangsung sehingga pukul 6 pagi, dan kami berehat sehingga pukul 10 pagi sebelum memulakan sesi pancingan di hari kedua.

Hari kedua
Selepas bersarapan, bot mengangkat sauh dan menuju ke lokasi pancingan kedua yang mengambil masa lebih kurang dua jam.
Setibanya di sana, kami bersiap sedia untuk memancing dengan teknik bot berhanyut sambil memancing dasar.
Ia sedikit berbeza dengan panÂcing dasar kerana menggunakan perambut panjang. Apabila bot berhanyut, kami menggunakan perambut stail paternoster iaitu ada beberapa peÂrambut anak yang pendek bermata kail di satu perambut ibu seperti cara apollo.
Cuma kami pasang dua perambut anak berbanding apollo yang mempunyai banyak perambut anak.
Kedalaman laut di lokasi ini sekitar 60 meter, tetapi oleh kerana bot berhanyut kami guna batu ladung sedikit ringan iaitu seberat 300 gram
Kebanyakan hasil tangkapan pada hari kedua adalah ikan kerapu, merah dan pelbagai spesies ikan kecil lain.
Spesies ikan sasaran utama iaitu pari dan yu kemejan masih belum berjaya ditangkap. Sesi pancingan diteruskan sehingga lewat petang.
Pada waktu malam, bot berlabuh dan kami bertukar kepada pancing dasar menggunakan ranggong semula. Umpan ikan hidup seperti tamban dan kembung dipertaruhkan dengan harapan ada tangkapan ikan bersaiz besar.
Akhirnya, ikan bersaiz kasar memunculkan diri apabila salah seorang daripada kami menaikkan seekor kerapu besar.
Pada masa sama, saya berjaya menaikkan seekor ikan gerong pulau menggunakan umpan sotong beku.
Saya tidak menyangka ikan ini yang kebiasaannya menyambar jig sanggup membedal umpan pula.
Hari ketiga
Pagi-pagi lagi bot berpindah ke lokasi yang mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan. Pak Akob menyarankan untuk bertukar ke perambut paternoster kerana bot akan berhanyut di atas lubang-lubang dalam yang menjadi lubuk ikan merah.
Sebaik sampai, masing-maÂsing sudah tidak sabar untuk menurunkan umpan kerana kami tahu umpan siapa yang mencecah dasar paling awal, biasanya akan terus disergap ikan merah.
Seperti diduga, umpan isi ikan John terus dirembat ikan merah dan saiznya menakjubkan sekali. Kejayaannya itu diikuti oleh rakan-rakan lain.
Sepanjang waktu siang, ikan sangat ‘peramah’, bukan sahaja ikan merah yang menjamah umpan, malah ada juga ikan jenahak dan kaci.
Pada malam terakhir, semua orang mengharapkan ikan bonus dan impian itu tercapai apabila seekor ikan pari harimau mega
berjaya didaratkan selepas kira- kira 30 minit pertarungan.
Terukir senyuman pada wajah pemancing yang sudah lama mengimpikan tarikan ikan padu.
Selesai memancing pada malam tersebut, bot bergerak pulang ke jeti. Pihak agensi bot sudah menyiapkan ais serta tong untuk membawa pulang ikan tangkapan ke Malaysia.
Secara keseluruhannya, trip ini sangat menyeronokkan walaupun kos bot agak tinggi. Namun, pengalaman yang diperolehi begitu berharga untuk diabadikan dalam ingatan.
















