fbpx
IZZAT memperbaiki prestasi semalam apabila menamatkan perlumbaan hari ini dari Kuala Terengganu ke Kemaman di tempat ketujuh. - LTDL

LTdL 2025: Izzat bangkit tebus kecewa semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil melupakan kekecewaan semalam apabila bangkit menduduki tempat ketujuh pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini.

Pada perlumbaan dari Kuala Terengganu ke Kemaman sejauh 141.5 kilometer (km) itu, Izzat mempamerkan aksi luar biasa apabila berada dalam kelompok besar dan mempertahankan kedudukan.

Pelumba berusia 30 tahun itu berkata, kilometer terakhir menjadi aksi paling sukar kerana perlu melalui selekoh tajam tetapi berjaya mengekalkan posisi sebelum melintasi garisan penamat sebagai pelumba terbaik negara bagi peringkat tersebut.

“Syukur Alhamdulillah dan rakan sepasukan juga banyak membantu sejak dari awal hingga akhir perlumbaan. Kilometer terakhir hari ini memang mencabar kerana ada dua selekoh yang agak berbahaya.

“Saya cuba mempertahankan kedudukan kelompok 10 teratas pada kilometer terakhir itu dan usaha saya berbaloi. Saya hanya melakukan pecutan terbaik dan dapat tempat ketujuh walaupun sasaran awal lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, gelaran juara peringat keempat tersebut menjadi milik pendahulu keseluruhan dari pasukan XDS Astana, Matteo Malucelli yang menamatkan perlumbaan menerusi catatan masa 3 jam 17 minit 56 saat (s).

Menjelang perlumbaan peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser esok, Izzat hanya mahu berjuang dan mengelakkan kejadian semalam daripada berulang di mana dia menamatkan saingan di kedudukan ke-113.

“Esok saya hanya akan cuba bertahan dan memastikan perkara seperti semalam tidak berulang. Sebenarnya, Bukit Fraser tidaklah sukar seperti aksi di Gerik tetapi ia tetap mencabar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI