WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mula ditutup selepas tengah malam semalam (waktu tempatan) selepas ahli Kongres dan Presiden Donald Trump gagal memecahkan kebuntuan belanjawan semasa rundingan tegang yang bergantung kepada permintaan Parti Demokrat untuk pembiayaan penjagaan kesihatan.
Ketika penutupan kerajaan, semua agensi kerajaan perlu menghentikan tugas-tugas yang tidak penting sehingga ada undang-undang baharu diluluskan.
Ia adalah penutupan pertama sejak yang paling lama dalam sejarah berlangsung selama 35 hari hampir tujuh tahun lalu.
Penutupan tersebut menyebabkan penghentian kerja di beberapa jabatan dan agensi persekutuan, yang menjejaskan beratus-ratus ribu kakitangan kerajaan.
Trump menyalahkan Demokrat atas rundingan yang terhenti itu serta mengancam untuk menghukum parti berkenaan dan pengundinya semasa penutupan kerajaan, dengan menyasarkan keutamaan progresif dan memaksa pemecatan pekerja sektor awam secara besar-besaran.
“Kami akan memberhentikan ramai orang yang akan sangat terjejas. Mereka ialah penyokong Parti Demokrat dan mereka akan kekal sebagai Demokrat,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.
Operasi kerajaan mula terhenti pada pukul 12.01 tengah malam (waktu tempatan), selepas rundingan yang heboh diperkatakan akhirnya gagal di Dewan Senat untuk menyekat penyelesaian pembiayaan jangka pendek yang telah diluluskan Dewan Perwakilan.
Masih tidak jelas tempoh masa penutupan akan berlangsung, namun beberapa pemberhentian sebelum ini hanya berlangsung beberapa jam, tempoh yang tidak cukup lama untuk menjejaskan operasi kerajaan.
Kerajaan persekutuan AS telah ditutup 21 kali sejak 1976 apabila Kongres menggubal proses belanjawan zaman moden. – AFP