TEL AVIV – Israel bersiap sedia untuk memintas kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini menghampiri perairan Semenanjung Gaza dengan berbaki kira-kira 150 batu nautika, lapor portal berita Middle East Monitor.
“Lebih 50 kapal GSF telah memasuki julat pemintasan Israel iaitu kira-kira 241.40 kilometer dari Gaza.
“Tentera Laut Israel meneruskan persiapan untuk merampas kapal-kapal itu,” lapor penyiar awam Israel, KAN.
Tentera Rejim Zionis berkata, ia akan memindahkan aktivis ke kapal perang besar dan menunda kapal-kapal GSF ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel, dengan sebahagian daripada jumlah itu berkemungkinan akan tenggelam semasa operasi.
Saluran itu turut menekankan bahawa kepimpinan politik Israel telah mengarahkan tentera mereka untuk tidak membenarkan flotila memasuki Gaza dalam apa jua keadaan.
Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International (AI) semalam menggesa perlindungan untuk flotila ketika konvoi kemanusiaan itu menghampiri perairan Gaza sambil menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Israel.
“Israel bersiap sedia untuk merampas kapal-kapal GSF, sama seperti operasi mereka sebelum ini ke atas kapal Madleen dan Handala pada Jun dan Julai yang lalu,” lapor KAN.
Kapal-kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan telah belayar beberapa hari lalu dalam usaha untuk memecahkan sekatan haram Israel.
Ia menandakan kali pertama dalam sejarah apabila puluhan kapal belayar ke Gaza, yang menempatkan kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin dan berada di bawah sekatan Tel Aviv selama 18 bulan.
Israel mengetatkan lagi pengepungan dengan menutup semua lintasan sempadan dan menyekat bekalan pada 2 Mac lalu, menyebabkan Gaza terjerumus ke dalam krisis kebuluan yang serius. – AGENSI