fbpx
Operasi SAR dilakukan sehingga pukul 1 pagi tadi dan disambung semula 8 pagi ini di kebun sawit di Chabau, Melaka. (Gambar kecil: Zoiyah atau Mak Yah)

Anak rayu cari ‘Mak Yah’ hilang cari sayur di kebun sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun dilaporkan hilang selepas keluar mencari sayur di kawasan kebun sawit di Chabau, di sini, petang semalam.

Menurut anak mangsa, Hanisah Saiman, 40, ibunya Zoiyah Ismail atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mak Yah’ keluar dari rumahnya sekitar pukul 2 petang, namun tidak pulang sehingga malam.

“Ibu saya memang selalu keluar sendirian ke kebun sawit untuk mencari jantung pisang dan sayur-sayur lain yang ada.

“Tapi semalam dia tak balik-balik. Saya minta jasa orang ramai di kampung-kampung berhampiran untuk bersama-sama bantu cari ibu saya. Setakat ini memang penduduk dari sekitar Chabau dan Simpang Bekoh ada datang membantu,” ujarnya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Noorsyahlan Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 malam dan sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada pukul 10.48 malam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama polis serta penduduk kampung di kawasan kebun sawit berkenaan.

“Operasi SAR yang bermula malam tadi dihentikan sementara pada pukul 1 pagi kerana faktor keselamatan dan telah disambung semula pada pukul 8 pagi ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, radius pencarian meliputi satu hingga dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan berada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI