fbpx
Ahmad Faizal

Isu Mohamed Azmin: Bersatu Perak gesa Wan Saiful, ahli terlibat diambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan segera terhadap semua pihak yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti.

Beliau yang mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung isu membabitkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia seharusnya dilakukan melalui saluran rasmi.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan nama baik dan imej parti di mata rakyat.

“Ia langsung tidak mencerminkan disiplin dan adab berorganisasi yang menjadi tunjang dan kekuatan Bersatu sejak awal penubuhannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak menegaskan bahawa parti mempunyai saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan dan menyelesaikan perbezaan pendapat.

Justeru, katanya, tindakan mengeluarkan kenyataan secara terbuka dengan nada mencabar kepimpinan parti adalah perbuatan yang tidak wajar malah membuka ruang serta mengundang keraguan terhadap kesatuan saf perjuangan Bersatu.

“Sehubungan itu, kami menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi dan Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana ahli, termasuk Wan Saiful yang mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar parti.

“Langkah tegas ini penting bagi mengelak gejala tidak berulang dan menular dalam parti,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu Perak juga menyeru seluruh ahli di semua peringkat untuk kekal teguh dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan parti.

Beliau turut menggesa agar mereka tidak terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang boleh merosakkan nama baik Bersatu.

Media semalam melaporkan, Wan Saiful dalam sidang akhbarnya mendakwa Mohamed Azmin mengugut beberapa ketua bahagian supaya menarik balik daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) menjatuhkan Presiden.

Katanya, ugutan itu dilakukan terhadap Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Shukor Mustafa ketika mereka dipanggil bertemu Mohamed Azmin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI