SEPANG – Berani kerana benar, bekas isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi menegaskan tidak takut dimakan sumpah yang dibuat bagi membuktikan tidak berlaku rujuk pada 18 Jun tahun lalu seperti didakwa lelaki terbabit.
Katanya, selain pernah melalui proses perceraian dalam perkahwinan terdahulu, dia sedia memenuhi permintaan Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi kerana hal berkaitan nikah cerai merupakan perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kalau nak cakap pasal pengalaman, macam dia cakap saya menafikan wujud lafaz rujuk. Saya pun pernah berkahwin juga sebelum ini serta pernah bercerai.
“Saya pernah melalui proses pengesahan lafaz cerai, jadi takkanlah saya nak menafikan kenyataan sampai enggan mengakui adanya lafaz rujuk sedangkan tiada.
“Sebagai isteri, perkara ini (perceraian) orang kata bukan boleh dibuat main-main untuk kita menafikan rujuk daripada suami. Ini soal hukum.
“Cuma saya tak tahu kenapa pihak sana buat kenyataan saya tidak bercakap benar mengenai lafaz rujuk. Itu (lafaz rujuk) memang tak berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Begitupun, Afreena yang sah bercerai talak satu dengan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, berkata, dia tidak menaruh dendam terhadap bekas suaminya, malah sudi untuk menjalin persahabatan dengan Along.
“Saya memang tidak simpan langsung rasa dendam pada dia. Saya tak ada masalah nak bersahabat sebab bagi saya tak perlu ada dendam atau benci-membenci.
“Malah saya tak pernah membenci Along. Saya pun dah lama ‘move on’, kemelut antara kami dah berlarutan lebih setahun.
“Saya pun doakan yang terbaik untuk dia, dipermudahkan segala urusa kerjaya, kehidupan peribadi, anak dan jumpa jodoh yang baik. Semoga kes satu lagi yang sedang berjalan dapat selesai secara baik” ujarnya yang hadir ke mahkamah dengan tangan berbalut.
Terdahulu, proses perceraian pasangan itu menjadi perhatian selepas Along mengemukakan isterinya didakwa melanggar beberapa perjanjian taklik termasuk tidak patuh dan membelakangkan suami.
Pada masa sama, dakwaan plaintif mengenai lafaz rujuk yang dibuatnya juga tidak diakui pihak isteri sehingga proses mahkamah menjadi panjang.
Along yang mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April tahun lalu melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Jun 2024. – KOSMO! ONLINE