LONDON – Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner tidak menolak kemungkinan untuk menggantikan Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United.
Malah, Glasner yang memenangi Piala FA dan Perisai Komuniti selain memberikan kekalahan sulung kepada Liverpool musim ini mengakui sentiasa mengikuti khabar mengaitkan namanya ke Old Trafford.
“Saya mengikuti semua khabar angin. Saya fokus kepada tugas harian saya bersama pemain, barisan jurulatih dan cuba menikmati setiap detik sehabis baik,” katanya.
Pengurusan tertinggi United dilaporkan tidak lagi mampu bersabar dengan prestasi buruk pasukan dan kini dikatakan akan menunggu sehingga 1 November bagi mengurangkan jumlah pampasan sekiranya memecat Amorim.
Selain Glasner, bekas pengurus kebangsaan England, Gareth Southgate dan pengendali Bournemouth, Andoni Iraola turut dikaitkan sebagai calon untuk menggantikan Amorim di Old Trafford.
Legenda The Red Devils, Wayne Rooney mengakui sudah tidak ada jiwa dengan kelab itu selain turutn mendedahkan dia iada keyakinan lagi terhadap Amorim.
Rooney berpendapat sesetengah pemain sekarang tidak berhak untuk menyarung jersi United yang memerlukan ‘enjin’ baharu, malah ada penyokong sedang menanti kelab itu musnah.
“Tiada apa yang menghadirkan keyakinan dan pada pendapat saya, perubahan besar perlu dilakukan. Pengurus, pemain (perlu ditukar) atau apa saja yang boleh mengembalikan United yang sebenar,” katanya. – AGENSI