SHAH ALAM – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mendesak tindakan tegas termasuk pemecatan terhadap Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan beberapa pemimpin lain selepas didakwa mengulangi fitnah jijik serta gagal dalam komplot menjatuhkan Presiden melalui akuan bersumpah.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan kenyataan sidang akhbar Wan Saiful bersama tiga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Suhaimi Ghazali (Sepang), Isa Saidi (Ampang) dan Muhd. Fadhli Ismail (Ipoh Timur) sebagai usaha terdesak mengalih perhatian daripada komplot jahat mereka.
Justeru, mereka mendesak Lembaga Disiplin parti dipercepatkan untuk bersidang dan mengambil tindakan tegas serta keras terhadap mereka.
“Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti, demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan.
“Ketegasan ini penting untuk memelihara keyakinan rakyat serta memastikan parti terus kekal utuh dan dihormati,” katanya.
Kesepuluh ADUN Selangor daripada Bersatu itu adalah Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah (Kuang), Rosnizan Ahmad (Morib), Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis), Dr. Afif Bahardin (Taman Medan), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Datuk Harrison Hassan (Jeram), Datuk Seri Jamil Salleh (Dengkil), Datuk Noorazley Yahya (Bukit Melawati), Nurul Syazwani Noh (Permatang) dan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali).
Menurut kenyataan itu lagi, mereka mengecam keras fitnah jijik yang diulang terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedangkan kes tersebut telah pun disiasat oleh Polis Diraja Malaysia secara mendalam lebih lapan bulan lamanya.
Tegasnya, Peguam Negara ketika itu memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat selepas menerima sebulat syor daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 9 Januari 2020.
Hakikatnya, Wan Saiful dan dalang usaha terancang ini sedang memutar belit fakta dan cuba mengubah naratif setelah komplot yang mereka rancang gagal.
“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baru. Sebaliknya, perkara yang sewajarnya diberi perhatian adalah kes dia sendiri.
“Wan Saiful bukan sahaja telah disiasat, malah kini berdepan dengan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan bahawa pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan tersebut di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan ADUN itu turut menegaskan sokongan padu kepada kepimpinan Presiden dan Setiausaha Agung parti sambil mengingatkan bahawa kesetiaan dan disiplin adalah asas perjuangan.
Media semalam melaporkan Wan Saiful mendakwa video membabitkan Mohamed Azmin di Sandakan adalah tulen selepas kononnya menerima maklumat baharu siasatan forensik video itu. – KOSMO! ONLINE