KUALA LUMPUR – Kejuaraan Cub Prix Malaysia dilanda kejutan apabila TKKR Racing Team mengumumkan pengunduran daripada saingan musim ini selepas gagal mendapatkan penajaan.
Pengumuman tersebut diumumkan prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin yang terpaksa akur membubarkan pasukan selepas pelbagai usaha mencari rakan penaja menemui jalan buntu.
“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan TKKR Racing Team akan dibubarkan secara rasmi. Sejak dari awal, kita semua telah berjuang sepenuh hati untuk memastikan pasukan ini terus berada di pentas perlumbaan.
“Saya sendiri telah melakukan yang terbaik termasuk melepaskan segala aset saya ada demi memastikan kita dapat menamatkan musim ini.
“Namun begitu, segala usaha tersebut masih tidak mencukupi untuk membawa kita ke pusingan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pelumba, mekanik serta semua kru pasukan yang dianggap sebagai nadi kekuatan TKKR sejak mula ditubuhkan.
“Saya amat menghargai setiap titik peluh, masa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh semua ahli pasukan daripada pelumba, mekanik, kru sokongan hinggalah ke semua di belakang tabir. Tanpa anda semua, perjalanan TKKR tidak mungkin sampai sejauh ini.
“Walaupun perjalanan kita terhenti di sini, semangat dan kenangan bersama TKKR Racing akan kekal selamanya.
“Saya percaya setiap daripada kita akan terus melangkah jauh dalam bidang masing-masing dengan semangat juang yang sama tanpa putus asa,” tambahnya yang turut memaklumkan pasukan itu akan menjual semua jentera perlumbaan dan kelengkapan pasukan. – KOSMO! ONLINE