fbpx
YY PANG akan membawa masuk dua pelumba baharu memastikan sasaran tercapai pada saingan musim baharu kali ini.

YY Pang galas misi besar musim 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASUKAN YY Pang Racing terus melakukan persiapan terbaik mereka untuk memulakan saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan mempertaruhkan barisan terkuat musim ini.

Pasukan yang dibentuk sejak 1990 itu mempunyai misi lebih besar pada musim ini apabila sedia mempertahankan gelaran CP125 diraih musim lalu selain mempersiapkan pasukan lebih ampuh dalam kategori CP150.

Tahun lalu, YY Pang mendominasi perlumbaan kelas CP125 apabila mencatat kemenangan 1-2 menerusi Khairi Asyraf Mahmood yang menjuarai gelaran keseluruhan dengan 167 mata dan Shafiq Ezzariq Saiful Nizam di kedudukan kedua menerusi 150 mata.

Bagi memastikan mereka terus mengungguli kategori itu, YY Pang mengekalkan dua pelumba terbaik musim lalu itu selain menambah seorang tenaga muda bersama mereka.

Penyelaras YY Pang, Gary Pang Kee Yong berkata, dua pelumba baharu akan dibawa masuk musim ini untuk memastikan mereka terus menjadi pencabar utama kejuaraan.

“Saya boleh sahkan bahawa dua pelumba baharu akan masuk. Buat masa ini dua pelumba muda itu akan kita umumkan dalam satu majlis pengenalan dalam tempoh terdekat.

“Kita merasakan dua pelumba muda itu benar-benar baik dan mampu menjadi antara yang terbaik untuk kita terus mempertahankan kategori CP125 selain mencabar CP150.

“Yang pasti ketika ini Khairi dan Ezzariq kekal dalam CP125 untuk memastikan kita mempunyai kombinasi pelumba yang terbaik pada musim 2024,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Gary turut mengesahkan bahawa pelumba CP150, Tengku Amirul Haffirudin yang telah bersaing bersama mereka dalam tempoh 12 tahun lalu tidak lagi bersama pasukan musim ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Amirul atas jasa selama 12 tahun bersama YY Pang. Beliau banyak menyumbang kejayaan kepada pasukan. Kami mengucapkan selamat maju jaya dan terus cemerlang dalam kariernya selepas ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN