Kad identiti diri rakyat Malaysia iaitu MyKad yang dulunya hanya dianggap sekeping kad pengenalan diri, kini semakin bernilai ibarat harta wajib rakyat Malaysia. Hampir semua urusan rasmi atau harian kini bergantung kepada sekeping kad itu.
Jika dahulu, kita hanya keluarkan MyKad ketika ada urusan rasmi seperti buka akaun bank, daftar peperiksaan atau mengundi. Selebihnya, kad ini tersimpan elok dalam dompet tanpa perlu disentuh untuk bertahun-tahun.
Keadaan sudah berubah, MyKad kini ibarat ‘pasport domestik’ yang perlu dikeluarkan berkali-kali, malah hampir setiap minggu selepas ini.
Contoh paling jelas, pengeluaran tunai atau penebusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Tanpa MyKad, penerima tidak dapat mengesahkan identiti mereka. Dulu kita ada sarung MyKad yang dibeli dengan harga RM1, sekarang ini sarung itu perlu dibuka untuk dibaca oleh pembaca kad.
Begitu juga dengan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara). Untuk membeli barangan asas dengan harga subsidi, pengguna mesti mengimbas MyKad di kaunter.
Di Lembah Klang pula, ramai penumpang sudah menggunakan My50 Rapid sudah tentu menggunakan MyKad setiap hari untuk menggunakan pengangkutan awam dibawah Prasarana. Syaratnya tetap sama daftar dan sahkan dengan MyKad.
Mulai hari ini juga, melalui skim subsidi petrol Budi95 turut menggunakan MyKad bagi kelayakan harga subsidi RM1.99. Ia menunjukkan betapa kad ini menjadi kunci utama kepada pelbagai bentuk bantuan rakyat.
Semua ini menjadikan MyKad keluar masuk dompet lebih kerap daripada sebelumnya. Dari kaunter pasar raya, stesen minyak, bank, hinggalah loket pengangkutan awam, ia sentiasa ‘bekerja’.
Tetapi, penggunaan berlebihan ini ada risikonya. Kad yang sebelum ini boleh bertahan bertahun-tahun kini lebih mudah calar, retak atau cipnya boleh rosak.
Ramai mengadu permukaan MyKad cepat terkopek plastiknya kerana terlalu kerap keluar masuk dompet. Ada yang terpaksa membuat kad baharu walaupun kad lama masih sah dari segi tarikh.
Bayangkan, sekeping kad yang dulunya dianggap ‘dokumen rasmi sekali seumur hidup’ kini boleh rosak dalam masa singkat akibat kekerapan digunakan.
Sebab itu, rakyat perlu lebih berhati-hati menjaga MyKad masing-masing. Simpan di tempat selamat, gunakan sarung pelindung, dan elakkan kad terdedah pada haba atau tekanan.
Pada masa sama, pihak berkuasa mungkin boleh mempertimbangkan kaedah alternatif, contohnya sistem digital melalui telefon bimbit seperti MySejahtera tanpa perlu keluarkan MyKad setiap kali berurusan atau secara biometrik.
Hakikatnya, MyKad bukan sekadar plastik kecil yang kita bawa dalam dompet. Ia kini benar-benar barang berharga, kad untuk menerima bantuan, kemudahan, dan hak sebagai rakyat Malaysia.














