LIPIS – Beli kenderaan baharu secara tunai.
Itu antara kesan lonjakan ekonomi yang dialami penduduk di daerah ini berikutan penemuan emas di kawasan tanah milik mereka.
Tinjauan Kosmo! mendapati, selain kenderaan baharu, penduduk kampung juga memiliki jengkaut yang dikatakan dibeli sendiri bagi memudahkan kerja-kerja melombong emas di tanah mereka.
Difahamkan, selain mampu meningkatkan pendapatan, kewujudan emas di kawasan tersebut turut menyebabkan berlakunya kes perebutan tanah dalam kalangan adik-beradik sehingga tanah milik mereka terpaksa dijual.

Difahamkan, perlombongan emas di situ dilakukan sewenang-wenangnya sehingga melibatkan kawasan berhampiran jalan dan rumah. Malah, kegiatan itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan melibatkan penduduk kesan daripada runtuhan di kawasan berbukit.
Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa, kewujudan emas di kawasan mereka dianggap peluang depan mata yang tidak boleh dilepaskan.
Dakwa penduduk itu, kekayaan sumber alam yang bernilai itu bukan sahaja dapat mengubah kehidupan sekali gus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.
“Takkanlah kami hendak membiarkan sahaja emas yang ada di kawasan rumah.
“Kami harap kerajaan negeri keluarkan permit supaya penduduk dapat meningkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk berkata, penemuan emas di satu-satu kawasan yang digali memberi petunjuk bahawa banyak lagi emas boleh ditemui dalam jajaran berkenaan.
Justeru, katanya, penggalian akan terus dilakukan mengikut jajaran emas berkenaan kerana mampu memberikan pulangan dan pendapatan yang lumayan.
Kalau ada emas, sekiranya terpaksa gali bawah rumah sekalipun, kami akan lalukan kerana rumah boleh dibina semula yang lebih elok,” katanya.















