LANGKAWI – Pelumba muda Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin memulakan kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dengan langkah kanan apabila mengutip satu mata di zon pendakian pada peringkat pertama hari ini.
Perlumbaan sulung mengelilingi Pulau Langkawi dengan jarak 96.7 kilometer (km) itu merangkumi tiga zon pecutan di Harbour Park, Padang Matsirat dan Bayas serta satu zon pendakian di Bukit Malut.
Syawal berkata, dia bersyukur dengan aksi yang dipamerkan pada perlumbaan semalam, hanya dipisahkan satu mata dengan pendahulu jersi polka dot, Ben Carman dari pasukan St. George Continental Cycling.
“Alhamdulillah, saya bersyukur untuk dapatkan satu mata dan untuk peringkat ketiga nanti, saya akan cuba melakukan breakaway bagi mengutip mata. Saya rasa boleh pakai jersi KOM (Raja Bukit) nanti.
“Hari ini memang sasaran saya untuk mendapatkan jersi KOM. Ketika sampai ke zon pendakian, saya cuba mengejar (Carman) tetapi bila dia nampak, dia kembali melakukan henjutan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan hari ini.
Menjelang perlumbaan peringkat ketiga pada Selasa ini, Syawal sekali lagi berpeluang untuk merebut jersi polka dot apabila saingan dari Gerik ke Pasir Puteh menawarkan tiga zon pendakian di Gerik, Sri Banding dan Puncak Titiwangsa.
Nasib berbeza dialami seorang lagi pelumba MPC, Ahmad Syazrin Awang Ilah apabila terlibat dalam kemalangan, namun dia kembali meneruskan perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat.
“Waktu itu saya betul-betul di belakang dan ada pelumba seperti terkejut apabila ada jalan ‘off-road’. Dia pergi ke kanan dan terkena pelumba di depan sehingga menyebabkan saya terlibat sama.
“Badan saya okey, cuma rasa sakit sedikit kerana baru jatuh. Esok saya akan cuba masuk ke zon pecutan dan melakukan cabaran selain mempamerkan aksi terbaik buat pasukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE