LANGKAWI – Pelumba pasukan XDS Astana, Matteo Malucelli menepati ramalan apabila memenangi perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini.
Pada perlumbaan mengelilingi Pulau Langkawi hari ini, pelumba dari Itali itu melintasi garisan penamat menerusi catatan masa 2 jam 0 minit 22 saat (s).
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan dia menyambar jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan serta jersi oren sebagai raja pecut.
Mengiringi Malucelli di podium adalah pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra di tempat kedua diikuti Arvid De Kelijn selaku pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas di kedudukan kesembilan.
Saingan akan diteruskan esok dengan peringkat kedua bermula di Padang Besar ke Kepala Batas sejauh 166.1km merangkumi tiga zon pecutan.
Para pelumba pastinya perlu merencana strategi terbaik bagi memastikan stamina berada pada tahap terbaik memandangkan peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh nanti akan melibatkan tiga zon pendakian. – KOSMO! ONLINE