PELUMBA muda berbakat negara, Tsen Ren Bao menggalas misi cukup penting menjelang kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang akan membuka gelanggang secara rasmi pada perlumbaan peringkat pertama di Pulau Langkawi hari ini.
Dia yang beraksi bersama pasukan Benua dari Australia, St. George Continental Cycling mahu menebus kekecewaan yang dialami pada edisi tahun lalu di mana dia gagal mempamerkan kayuhan terbaik gara-gara masalah kesihatan.
Justeru, dia mahu menjadikan saingan 2025 sebagai medan untuk memperagakan kemampuan sebenar, lebih-lebih lagi dia sudah melakukan persiapan rapi dengan menyertai beberapa perlumbaan.
“Tahun lepas saya menyertai LTdL dalam keadaan sakit dan tidak cergas sepenuhnya kerana berlatih terlalu keras. Bagi saya, ia satu kekecewaan yang cukup besar, jadi saya mahu menebusnya semula.
“Kali ini, saya datang dengan persiapan yang jauh lebih baik. Pengurus pasukan kami, iaitu Brett Dutton merupakan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, membuatkan saya lebih yakin,” katanya.
Anak kepada legenda berbasikal Malaysia, Tsen Seong Hoong itu turut menggalas harapan cukup tinggi untuk bersaing merebut jersi putih selaku pelumba terbaik Asia biarpun sedar ia bukan sesuatu yang mudah.
Walaupun mengakui laluan perlumbaan pada edisi kali ini tidak menyebelahinya kerana lebih banyak melalui laluan landai, namun Ren Bao sedia mencari langkah terbaik bagi memberikan cabaran.
“Sudah tentu saya mahu mencabar untuk gelaran pelumba terbaik Asia. Saya juga akan cuba untuk melakukan ‘breakaway’ tetapi buat masa sekarang keadaan tidak menyebelahi saya, jadi kita tunggu dan lihat.
“Walaupun laluan kali ini tidak menyebelahi saya, namun saya masih perlu meneruskan perlumbaan. Tidak ada sebarang alasan untuk saya cuba mempamerkan kayuhan terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE