fbpx
HARRIF masih bersemangat untuk terus berkayuh pada tahap tertinggi walaupun kini sudah berusia 37 tahun. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

LTdL25: Bukan penampilan terakhir Harrif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA pasukan lain yang boleh memujuk pelumba berpengalaman negara, Mohamed Harrif Saleh untuk meninggalkan Terengganu Cycling Team (TSG) jika jodohnya dengan pasukan itu tidak kekal lama.

Pelumba berusia 37 tahun berkenaan memberi bayangan akan kekal bersama pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu sehingga ke penghujung karier sebelum mengumumkan persaraan.

Harrif yang akan membuat penampilan ke-16 pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 berkata, dia tidak pasti penyertaan kali ini mungkin menjadi aksi terakhirnya ataupun tidak selain masih memiliki kemahuan untuk berkayuh.

Selain itu, niatnya bagi meneruskan kayuhan adalah bagi membantu rakan-rakan sepasukan dengan mencurahkan segala pengalaman yang ada dan menganggap faktor usia bukan penghalang untuk terus beraksi.

“Itu (masa depan) saya tidak pasti lagi kerana jiwa saya memang untuk basikal. Saya pun tidak tahu sama ada ini (LTdL 2025) mungkin penampilan terakhir kerana saya memang mahu terus berkayuh.

“TSG ini boleh dianggap (pasukan) yang terakhir untuk saya kerana sudah lewat usia. Selain itu, saya juga sudah merakamkan pelbagai kenangan dengan TSG, jadi untuk (menyertai) pasukan luar memang tidak ada,” katanya pada sidang akhbar di Langkawi semalam.

Sebagai rekod, Harrif boleh dilabelkan sebagai salah seorang legenda sukan berbasikal negara kerana merupakan pelumba tempatan yang paling banyak menyertai LTdL, 16 penampilan termasuk edisi kali ini.

Pada masa sama, dia juga meletakkan sasaran untuk memenangi mana-mana peringkat perlumbaan selain menganggap peluang memenangi peringkat keempat di laman sendiri dari Kuala Terengganu ke Kemaman sesuatu yang istimewa.

“Setiap peringkat perlumbaan memang ada impian (menang) tetapi kalau di kampung halaman, bagi saya ia satu bonus. Sebelum ini memang ada azam nak menang di laman sendiri tetapi belum ada rezeki lagi,” ujar Harrif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI