fbpx
Keadaan kanak-kanak yang parah akibat dipukul dengan tukul dalam kejadian di Jelawat, Bachok kelmarin.

Kepala anak kena lebih 50 jahitan, tempurung retak akibat hentakan tukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak yang cedera parah akibat dipukul dengan tukul di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini kelmarin menerima lebih 50 jahitan pada kepalanya.

Bapa mangsa, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata, selain itu, bahagian tempurung kepala anaknya, Muhammad Ammar, 7, juga mengalami keretakan sebanyak 50 peratus akibat dipukul bertubi-tubi dengan sebatang tukul.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan anak sulung daripada dua beradik itu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

“Muhammad Ammar ketika ini perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan di hospital. Alhamdulillah, tangan dan kakinya sudah mula bergerak-gerak menunjukkan tindak balas selepas 24 jam ditidurkan.

“Darah banyak keluar selepas kejadian itu. Selepas menerima rawatan dan jahitan pada kepalanya, darah yang keluar juga berkurangan,” katanya ketika ditemui pemberita di HPUSM, Kubang Kerian di sini semalam.

Muhammad Badrul memberitahu, dia berharap kecederaan yang dialami anaknya itu segera sembuh meskipun pada awalnya Muhammad Ammar berada dalam keadaan kritikal apabila kehilangan banyak darah.

Menurutnya, setakat ini, anaknya itu tidak menjalani pembedahan yang serius pada kepala dan hanya jahitan dilakukan pada bahagian yang terkoyak.

“Saya memohon orang ramai mendoakan kesihatan Muhammad Ammar agar dia cepat sembuh dan tiada kecederaan yang serius selepas ini,” katanya.

Muhammad Badrul berkata, dia tidak menolak kemungkinan sikap anaknya yang peramah dan suka bercakap dengan bapa saudaranya menyebabkan suspek yang mungkin ketika itu berada dalam keadaan tidak normal menjadi baran.

“Saya tidak tahu apa salah dia. Anak saya merupakan seorang kanak-kanak yang peramah dan dia memang suka bercakap.

“Mungkin abang ipar saya marah apabila Muhammad Ammar banyak bercakap ketika itu sebelum membawanya masuk ke bilik yang dijadikan sebuah stor sebelum bertindak memukul anaknya,” katanya.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang lelaki menamatkan riwayatnya sendiri selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini, manakala mangsa berada dalam keadaan kritikal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI