LUMUT – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di pantai Teluk Batik di sini, ditemukan lemas di perairan Pulau Pangkor, petang semalam.
Mangsa, V. Thanabalan, 60, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 5.15 petang.
Jasadnya ditemui tidak jauh dari Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor, yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Komander Kanan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Timbalan Penguasa Bomba II Suhaimy Mohd Suhail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi berhubung kejadian itu.
“Jasad mangsa dibawa dari lokasi mangsa ditemui ke pantai Teluk Batik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.-KOSMO! ONLINE.