KUALA LUMPUR – Harapan peminat untuk melihat lebih ramai pemain negara melangkah lebih jauh ketika bersaing pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea tidak kesampaian apabila hanya dua beregu profesional berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir.
Tugas berat itu kini digalas menerusi gandingan berpengalaman negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta pasangan sedang meningkat naik, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang menjadi satu-satunya wakil negara mara ke suku akhir esok.
Pada aksi Super 500 tersebut, Soon Huat-Shevon mempamerkan persembahan cukup baik apabila berjaya membenam cabaran pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying menerusi kemenangan straight set, 21-16, 21-13 dalam masa 31 minit.
Namun, misi getir menanti pasangan ranking No. 8 dunia itu apabila mereka dijadual bertemu lawan dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin esok.
Turut cemerlang pada perlawanan tersebut ialah Tien Ci-Chiew Sien yang mempamerkan kebangkitan dramatik untuk menyingkirkan wakil tuan rumah, Lee Jong Min-Chae Yu Jung 9-21, 21-15, 21-17, sekali gus menempah pertemuan dengan Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri yang terpaksa akur apabila tunduk di tangan pilihan keempat dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 17-21, 11-21.
Nasib sama turut menimpa perseorangan muda negara, Justin Hoh selepas turut tersingkir selepas gagal menyekat kemaraan pilihan utama dari Denmark, Anders Antonsen, dengan kekalahan 17-21, 11-21 dalam masa 41 minit. -KOSMO! ONLINE