fbpx
Ramai ambil jalan mudah menggunakan suntikan ubat diabetes untuk menurunkan berat badan.

Ubat diabetes jadi ubat kurus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Trend penggunaan ubat diabetes jenis suntikan seperti Ozempic kini semakin menjadi perhatian masyarakat bukan sahaja sebagai rawatan perubatan, malah sebagai ‘jalan pintas’ untuk menurunkan berat badan.

Ubat tersebut digunakan sebagai ubat kawalan gula dalam darah bagi pesakit diabetes dan cukup popular di luar negara bagi mereka yang ingin tampil langsing.

Fenomena itu turut mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali pun ramai yang tidak mengetahui risiko yang bakal dihadapi sekiranya ia digunakan secara meluas tanpa pemantauan rapi doktor.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, ramai individu berkongsi gambar dan video perubahan fizikal mereka yang didakwa berjaya menurunkan berat badan selepas mengamalkan suntikan tersebut.

Seorang pekerja swasta, Nurul Ain Norhan, 32, berkata, dia mula mengambil Ozempic selepas mengalami berat badan mendadak sehingga mengalami obesiti kategori dua.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengambil ubat tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu.

“Saya mula mengambil Ozempic atas cadangan doktor semasa berat badan naik mendadak hingga menjadi obesiti.

“Tidak dinafikan saya berjaya menurunkan berat badan hingga 12 kilogram (kg) hanya selepas beberapa bulan mengambil Ozempic dengan pemantauan doktor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Nurul Ain berkata, pengambilan Ozempic bagaimanapun ­hanyalah sebagai kaedah sam­pingan kerana pesakit masih perlu menjaga pemakanan dan kerap bersenam.

“Berat saya sebelum mengambil Ozempic ialah 82kg sekitar bulan Mei lalu, kini berat badan saya turun sehingga 70kg. Saya tidak mengalami penurunan berat badan yang drastik kerana kekangan masa untuk bersenam.

“Ubat ini memang mengawal selera makan saya, tetapi tidak begitu ketara, malah doktor juga menasihatkan supaya saya menjaga pemakanan bagi memastikan matlamat untuk kurangkan berat badan itu tercapai,” kata­nya.

Nurul Ain berkata, dia membe­lanjakan wang sebanyak RM3,200 bagi membeli empat batang pen Ozempic yang berharga RM800 sebatang.

“Satu pen Ozempic boleh digunakan sebanyak empat kali dan boleh bertahan selama sebulan.

“Kesan sampingan semasa pertama kali mengambil ubat itu ialah saya mengalami sakit kepala hingga hilang selera makan. Bagaimanapun, keadaan semakin baik selepas mengambil pen kedua dan seterusnya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Nor, 42, berkata, dia mengambil suntikan Ozempic selepas di­sahkan menghidap diabetes sejak lima tahun lalu.

Katanya, cadangan doktor untuk mencuba suntikan itu pada mulanya membuatkan dia agak ragu-ragu.

“Saya memang bimbang pada awalnya mungkin kerana ubat itu perlu disuntik dalam badan, jadi bermacam perkara bermain di fikiran.

“Selepas itu doktor terangkan bahawa ubat ini bukan sahaja membantu mengawal gula dalam darah, tetapi juga boleh menurunkan berat badan kerana ia mengawal selera makan,” katanya.

Selepas tiga bulan rawatan dengan pemantauan rapi di klinik, Nor berkata, paras gula dalam darah menjadi lebih stabil, dan berat badannya turun hampir tujuh kilogram.

“Saya rasa lebih bertenaga, pergerakan lebih mudah dan yang penting bacaan gula lebih terkawal. Doktor pantau setiap bulan, jadi saya rasa selamat. Bagi saya suntikan seperti Ozempic boleh memberi manfaat asalkan ia digunakan dengan betul dan mendapat nasihat doktor.

“Saya tahu ramai orang nak cepat kurus, tapi bagi saya, yang penting keselamatan. Kalau ikut cara doktor, memang nampak hasil tanpa perlu risau berlebihan,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN