fbpx
BERNAS menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan latihan kepada pesawah yang berdaftar.

AI dan SMART SBB: BERNAS Perkasa Misi 80% Sara Diri Beras Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, agenda memperkukuh keterjaminan makanan terus menjadi fokus utama negara, khususnya bagi menjamin bekalan beras sebagai makanan ruji rakyat.

Menjelang 2050, populasi Malaysia dijangka mencecah 40 juta orang, sekali gus meningkatkan permintaan makanan sehingga dua kali ganda. Dalam masa sama, perubahan iklim, kos pengeluaran yang meningkat dan kekurangan tenaga kerja muda terus memberi tekanan kepada sektor pertanian.

Bagi memastikan rakyat tidak berdepan krisis beras, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berganding bahu dengan Padi­beras Nasional Berhad (BERNAS), syarikat yang memikul amanah sebagai benteng utama keselamatan makanan negara.

Benteng strategik negara sejak krisis 1973

Ketua Agronomi BERNAS, Dr. Nur Firdaus Mohamad Yusof berkata, pengalaman lalu menjadi pengajaran berharga.

“Krisis beras global 1973 telah mengubah landskap industri ini apabila kerajaan menubuhkan Lembaga Padi Negara (LPN) untuk menjamin bekalan dan melindungi pesawah. Hari ini, peranan itu diteruskan oleh BERNAS sebagai pelindung utama, termasuk ketika pandemik COVID-19 dan sekatan eksport beras India,” katanya.

Tegasnya, beras bukan sekadar makanan asas tetapi sebahagian daripada identiti budaya dan ke­langsungan hidup rakyat Malaysia.

Purata penggunaan beras per kapita kini mencecah 76.7 kilogram setahun, dengan jumlah keseluruhan sekitar 2.6 juta tan. Namun, hanya lebih kurang 56% dihasilkan dalam negara, manakala selebihnya diimport.

DR. NUR FIRDAUS

SMART SBB: Transformasi sawah secara besar-besaran

Untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) kepada 80% menjelang 2030, BERNAS melaksanakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

“Kalau dulu petani bekerja secara individu, kini mereka disatukan di bawah pengurusan berpusat. Aktiviti seperti kawalan perosak, pembajaan dan menuai dilakukan serentak. Hasil lebih baik, kos pula jauh lebih rendah,” jelas Dr. Nur Firdaus.

Pendekatan ini turut memastikan pesawah hanya menerima benih sah berkualiti tinggi yang diuji di makmal BERNAS, sekali gus mengurangkan isu padi angin.

Contohnya di Kota Belud, Sabah, hasil rintis SMART SBB berjaya melonjakkan pengeluaran, menurunkan kos operasi dan mengurangkan kadar padi angin daripada 60% ke bawah 20% dalam satu musim.

Teknologi pintar, ladang lebih selamat

Transformasi digital kini menjadi tonggak baharu BERNAS. Melalui Rakan Tani Pintar AI, pesawah boleh mendapatkan nasihat teknikal segera melalui WhatsApp termasuk daripada kawalan penyakit, jadual penanaman hinggalah panduan pengairan, dengan jawapan berasaskan data rasmi Rice Check dan pengalaman lapangan agronomis.

BERNAS turut memperkukuh sistem Farm Management Solution (FMS) berasaskan Internet Kebendaaan (IoT). Lima stesen cuaca milik BERNAS di seluruh negara kini menyalurkan data ramalan hujan yang lebih tepat, membolehkan petani menuai lebih awal sebelum padi rebah.

“Selain itu, teknologi Penderiaan Jauh (PSSS) menggunakan dron multispektral membantu mengesan penyakit dan memantau kesuburan tanaman, manakala stereng automatik untuk jentera menjadikan kerja lebih mudah serta menarik minat generasi muda ke sektor ini,” katanya.

Kerjasama strategik di antara BERNAS dan kerajaan mampu melonjak industri padi dan beras negara mencapai sasaran sara diri 80% menjelang 2030.

Sokongan menyeluruh untuk pesawah

Bagi meringankan beban, BERNAS menyalurkan pelbagai bentuk bantuan:

  • RM4 juta setahun untuk pembelian jentera yang diagih percuma kepada ketua tani.
  • Pendahuluan Kos Operasi Ladang (PKOL) tanpa faedah sebelum musim bermula.
  • Jadual Kerja Ladang (JKL) sebagai panduan lengkap aktiviti sawah.
  • PROMAK, program makan tengah hari percuma untuk anak-anak pesawah dan dari keluarga miskin kumpulan B40.

Selain itu, Makmal Kualiti Beras BERNAS yang dilancarkan pada 2023 dan diiktiraf ISO17025:2017, menjadi pusat ujian beras pertama seumpamanya di Asia.

Menghadapi cabaran masa depan

Dr. Nur Firdaus mengakui, ancaman perubahan iklim, kos input yang meningkat serta kekurangan tenaga kerja muda kekal sebagai cabaran besar.

Namun, dengan kombinasi teknologi moden, dasar kerajaan yang kukuh dan sokongan komuniti pesawah, beliau optimis Malaysia berada di landasan tepat.

“Petani adalah nadi industri ini. Dengan mereka diperkasa, kita bukan sahaja menjamin nasi di pinggan rakyat, tetapi juga masa depan keselamatan makanan negara,” tegasnya.

Hari Malaysia: Menjaga setiap butir nasi

Bersempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, kejayaan program SMART SBB dan pelaksanaan teknologi AI oleh BERNAS menjadi bukti bahawa kerjasama kerajaan, syarikat peneraju dan pesawah mampu melonjakkan industri padi tempatan.

Misi besar ini hanya satu iaitu memastikan setiap butir nasi di pinggan rakyat Malaysia terus terjamin untuk hari ini, esok dan untuk generasi akan datang.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI