PETALING JAYA – Para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah bersiap sedia dengan prosedur operasi standard (SOP) kecemasan sekiranya berdepan dengan sebarang ancaman.
Perunding Media AlKhair Malaysia, Razali Awang berkata, konvoi tersebut memiliki kod keselamatan bagi memudahkan kapten kapal memaklumkan sekiranya mengesan ancaman.
“Kami ada SOP. Kapten akan memaklumkan sebaik menerima maklumat. Kami ada kod yang tidak boleh dikongsikan di sini yang mana kami akan terus bersiap sedia.
“Mengambil pasport dalam plastik kalis air, memakai jaket keselamatan bersama baju lengan panjang, seluar panjang dan kasut terus berada di bahagian dek,” katanya dalam satu hantaran video di muat naik di Instagram Alkhair Malaysia hari ini.
Razali memaklumkan, kapal layar yang terlibat dalam misi kemanusiaan GSF ke Gaza hanya memiliki satu tempat berkumpul iaitu di bahagian belakang.
Menurut beliau, berdasarkan SOP, semua peserta misi kemanusiaan itu perlu berada di posisi tersebut dalam tempoh kurang dua minit sekiranya timbul ancaman.
“Ia seperti mana yang kami ikuti pada simulasi (keselamatan) di Barcelona (Sepanyol) sebelum ini,” katanya.
AlKhair Malaysia berkata, kru GSF sentiasa bersiap siaga dan lengkap dengan latihan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
“Setiap detik di lautan penuh risiko, namun persediaan dan semangat inilah yang menjadi benteng kekuatan mereka.
“Doakan keselamatan seluruh kru dan kelancaran perjalanan misi ini,” kata AlKhair Malaysia. – KOSMO! ONLINE