SEREMBAN – Kehadiran sepasang kembar dari Palestin, Mohamed Tariq Mansour Wafi dan Mansour Tariq Mansour Wafi pada sesi pendaftaran pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam menarik perhatian ramai.
Berwajah seiras, kedua-duanya tampak bersemangat ketika melangkah masuk ke kampus utama universiti di Nilai untuk memulakan perjalanan akademik baharu mereka bagi sesi 2025/2026.
Mohamed Tariq, 19, memilih untuk menuntut di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, manakala Mansour Tariq pula Sains Komputer, khusus dalam Keselamatan dan Jaminan Maklumat di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Mohamed Thariq berkata, dia tidak sabar untuk mengikuti kelas pengajian pada sesi akademik baharu ini.
“Kami rasa tempat ini sesuai untuk kami belajar dan membina masa depan walaupun terpaksa berada jauh dari tanah air, ia bukanlah satu penghalang,” katanya.
Mansour Tariq pula berkata, sokongan keluarga di Palestin menjadi motivasi terbesar buat mereka berdua. – KOSMO! ONLINE