REMBAU – Seorang warga emas yang hilang selepas keluar dari rumah di Kampung Rendah di sini petang semalam, ditemukan selamat berhampiran landasan kereta api pagi ini.
Pembantu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Rembau, Lt. Muda (PA) Nurhanini Zamrod berkata, wanita itu ditemukan pada pukul 8.41 pagi, kira-kira tiga kilometer dari lokasinya hilang.
“Warga emas ini ditemukan oleh waris keluarganya. Seramai empat anggota telah bergegas ke lokasi yang dimaklumkan untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa dan membawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Semalam, tular di media sosial waris keluarga itu memohon bantuan orang ramai untuk mengesan warga emas tersebut yang disedari hilang sejak pukul 2 petang selepas keluar seorang diri tanpa pengetahuan keluarga. – KOSMO! ONLINE