PETALING JAYA – Konvoi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan amaran Israel, penyanyi Zizi Kirana mengakui kesemua kapal yang menyertai misi kemanusiaan menghampiri perairan Gaza sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata, mereka dimaklumkan mengenai kehadiran sekitar 15 dron pemantau tentera sebaik menghampiri zon kuning, malah dia turut mendengar bunyi letupan.
“Assalamualaikum, saya sekarang berada di kapal Huga dan kami semua dalam keadaan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Kami dimaklumkan kapal-kapal (konvoi) didatangi lebih kurang 15 dron. Berlaku letupan iaitu sejenis ‘gun powder’ dan saya sendiri mendengar bunyi itu,” katanya dalam perkongsian video pendek di Instagram beberapa jam lalu.
Kekal tenang, isteri kepada pelakon Yusof Bahrin itu meminta orang ramai mendoakan agar konvoi misi bantuan ke Palestin yang disertai 54 kapal dari 45 negara itu dijauhi kejadian tidak diingini.
“Saya minta kalian semua teruskan berdoa. Jangan berhenti berdoa. Kita nak bantu saudara kita insya-Allah. Tolong sebarkan, doakan kami,” ujarnya.
Zizi antara 34 sukarelawan Malaysia yang turut serta dalam GSF yang menekankan prinsip tanpa keganasan dengan melihat flotilla sebagai simbol solidariti dunia terhadap krisis di bumi yang dijarah rejim Zionis itu.
Terdahulu, beberapa jam lalu seorang sukarelawan yang berada di kapal Akma memuat naik video berlaku letupan berhampiran bot dipercayai untuk menakut-nakutkan delegasi mereka.
Laporan terkini menunjukkan konvoi berkenaan sudah menghampiri zon kuning iaitu antara kawasan paling mencabar dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Zon kuning terletak kira-kira 1,324 kilometer daripada zon merah yang dikepung ketat tentera Israel, sekali gus perkembangan itu menandakan pasukan sukarelawan antarabangsa semakin hampir dengan kawasan berisiko tinggi yang dipantau rejim Zionis.
Pada Isnin lalu Israel dalam satu kenyataan menegaskan tidak membenarkan armada terbabit sampai ke Gaza, bahkan mereka menyekat dua percubaan awal aktivis untuk sampai ke Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu. – KOSMO! ONLINE