PETALING JAYA – Salah satu bot yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mengalami kerosakan apabila tiang layarnya tumbang dipercayai akibat serangan dron ketika pelayaran di Laut Mediterranean semalam sekitar pukul 11 malam (GMT+3).
Menerusi perkongsian video oleh salah seorang peserta GSF, Thiago Avila di Instagram, serangan tersebut turut menyebabkan radio komunikasi mereka diganggu serta panggilan bantuan tidak dapat dihantar.
“Bot-bot misi terkena bom bunyi, suar letupan dan disembur dengan bahan kimia yang disyaki berbahaya.
“Radio diganggu, panggilan bantuan disekat. Perhatian dan perlindungan antarabangsa segera diperlukan!,” katanya.
Terdahulu, GSF dalam kenyataan di Instagram memaklumkan, terdapat lebih 15 dron rejim berlegar rendah setiap 10 minit di atas bot Alma dan beberapa kapal pengiring di Laut Mediterranean dipercayai bertujuan melakukan intimidasi serta risikan.
Menerusi maklumat dikongsikan, pengesanan dron terbabit berlaku ketika flotilla berada di zon kelabu, perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.
Setakat ini, lebih 500 sukarelawan GSF daripada 45 negara termasuk 34 delegasi dari Malaysia menaiki 53 buah kapal bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan serta keperluan. – KOSMO! ONLINE