BALIK PULAU – Seekor buaya yang mencetuskan kebimbangan orang ramai di sekitar Pantai Teluk Bahang di sini akhirnya berjaya ditangkap dalam satu operasi khas yang dijalankan petang tadi.
Reptilia itu ditangkap kira-kira pukul 6.15 petang hasil kerjasama pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan yang turut membantu mengawal keadaan di lokasi.
Menurut seorang nelayan, Mohd Johari Ibrahim, pihak bomba dan APM menjalankan operasi sebaik sahaja kelibat buaya berkenaan dikesan berhampiran kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pelancong dan penduduk setempat.
Katanya, kehadiran reptilia itu menimbulkan kegusaran orang awam kerana dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman keselamatan.
”Pasukan penyelamat dilihat mengambil masa sejam bagi memantau pergerakan buaya terbabit sebelum berjaya menjerat dan mengikatnya dengan selamat.
”Buaya berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut termasuk proses pemindahan ke habitat sesuai,” katanya di sini, sebentar tadi.-KOSMO! ONLINE