MUAR – Seorang pembantu pam minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Selasa minggu lalu.
Tertuduh, Che Muhammad Nor Faizal Che Salim, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa merogol mangsa yang baharu dikenalinya di sebuah hotel di Batu Pahat, pada pukul 3.30 petang, 16 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Haressh Tamil Selvan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan kes disebut semula pada 23 Oktober ini.-KOSMO! ONLINE