PARIS – Bintang Liverpool, Mohamad Salah terus dirundung malang apabila satu lagi percubaan untuk merangkul gelaran Ballon d’Or untuk edisi kali ini berdepan kekecewaan.
Salah sekadar berada di kedudukan keempat dalam senarai undian ketika anugerah berkenaan dimenangi Ousmane Dembele, manakala Lamine Yamal di tempat kedua dan Vitinha meraih kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, kedudukan keempat itu dianggap pencapaian terbaik buat Salah setakat ini dalam tempoh enam musim terakhir sejak 2018 kecuali musim lalu apabila dia tidak berada dalam senarai akhir 30 pemain.
Tonggak Mesir itu meledak 34 gol dan mencipta 23 bantuan jaringan dalam 52 penampilan ketika membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertama kendalian Arne Slot.
Ekoran kecemerlangan itu, Salah dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan EPL, Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Pemain Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (FWA) serta merangkul Kasut Emas EPL.
Menerusi pencapaian berkenaan, ia dianggap peluang terbaik untuk Salah bersaing dengan 29 lagi pemain dalam merebut gelaran Ballon d’Or berkenaan, namun terpaksa akur dengan pencapaian di kedudukan keempat.
Sebelum majlis berlangsung di Theatre du Chatelet, legenda Mesir, Mido tampil menyatakan sokongan terbuka di platform X agar Salah meraih anugerah berprestij tersebut.
“Saya benar-benar percaya Salah harus menang tahun ini, dia inspirasi seluruh dunia, kebanggaan Mesir. Beri dia hak yang sepatutnya,” tulisnya.
Liverpool segera memberi penghormatan kepada bintang mereka dengan memuat naik mesej ringkas di laman X menghargai pencapaian Salah untuk berada dalam kelompok empat pemain terbaik. – AGENSI