PARIS – Penyerang Paris Saint-Germain, Ousmane Dembele dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ballon d’Or selepas kejayaan kelab itu merangkul gelaran quadruple musim lalu termasuk tiga saingan domestik serta trofi Liga Juara-Juara (UCL).
Kejayaan pemain berusia 28 tahun itu menyaksikan dia menewaskan satu lagi calon pilihan, Lamine Yamal untuk merangkul anugerah berkenaan yang musim lalu dimenangi oleh pemain tengah Manchester City, Rodri.
Bekas pemain sayap Barcelona dan Borussia Dortmund itu turut menjadi sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 2018 dan telah menjaringkan 35 gol dalam semua kejohanan musim lalu.
“Saya hilang kata-kata. Ia musim yang luar biasa buat PSG. Ini adalah trofi individu, tetapi kejayaan ini tidak akan hadir tanpa kerjasama semua rakan sepasukan secara kolektif.
“Anugerah ini bukanlah objektif utama dalam karier saya sebagai pemain bola sepak, tetapi paling utama adalah saya berusaha keras untuk membantu pasukan memenangi Liga Juara-Juara.
Dembele yang dilahirkan di Vernon, Normandy merupakan anak kepada seorang ibu kelahiran Mauritania-Senegal, manakala bapanya berasal dari Mali dan memulakan kerjaya bola sepak profesional bersama Rennes.
Bakat yang dimiliki menarik minat banyak kelab dari England, namun dia memilih untuk menyertai Dortmund sebelum melengkapkan perpindahan ke Barcelona pada 2017 dengan nilai £135.5 juta (RM768.27 juta) untuk menjadi pemain kedua termahal di dunia.
Bagaimanapun, kerjayanya di Camp Nou tidak berjalan dengan baik apabila berdepan masalah prestasi ekoran siri kecederaan apabila terpaksa diketepikan selama 784 hari sebelum berhijrah ke Parc des Princes.
Kemenangan kali ini menyaksikan Dembele menjadi pemain Perancis ketujuh yang memenangi Ballon d’ Or selepas kali terakhir dimenangi oleh Karim Benzema dan didahului oleh Raymond Kopa, Michel Platini, Jean Pierre-Papin, Zinedine Zidane. – AGENSI