fbpx
Jessica mahu membina sifat kepimpinan menerusi aktiviti dalam Pandu Puteri.

Jessica impikan Anugerah Pandu Puteri Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PANDU Puteri Malaysia merupakan sebuah pergerakan beruniform yang bertujuan membentuk jati diri, kepimpinan, kemahiran hidup serta keyakinan diri dalam kalangan pelajar perempuan.

Melalui aktiviti seperti perkhemahan, bengkel, latihan ikatan, survival dan lencana kecakapan (LK), Pandu Puteri menjadi platform penting dalam melahirkan generasi wanita berani, berkemahiran serta mampu berdikari.

Salah seorang remaja, Jessica Adryanna, 15, berkata, penyertaan dalam Pandu Puteri membantunya membina sifat kepimpinan.

Ujarnya, sifat itu sukar diasah melalui aktiviti pembelajaran harian.

Menurut anak Orang Asli daripada suku kaum Jakun itu, dia seronok menyertai pelbagai program dan kem sepanjang tiga tahun bergiat aktif dalam unit beruniform tersebut.

“Sebagai anak Orang Asli, kami sinonim dengan sifat pemalu dan rendah diri. Oleh itu, cikgu sekolah menyarankan saya menyertai Pandu Puteri agar dapat membina keyakinan dalam diri.

“Sejak mengikuti aktiviti Pandu Puteri, saya jadi lebih berani berbicara dengan kawan-kawan dan tidak hanya berdiam diri seperti dahulu.

“Antara pengalaman yang pernah saya lalui termasuklah menyertai perkhemahan di Cameron Highlands serta bengkel di Muadzam, Rompin, Pahang,” katanya kepada K-Remaja.

Untuk makluman, Jessica merupakan salah seorang peserta Perkhemahan JADE Camp Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen

Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Di kem tersebut, anak jati Rompin itu berjaya meraih Anugerah Jed iaitu pengiktirafan awal bagi ahli Pandu Puteri Remaja.

Jessica (kanan) gembira dapat membina persahabatan bersama rakan-rakan dari seluruh negara pada PPPM 2025 di Putrajaya baru-baru ini.

Untuk menerima Anugerah Jed, ahli Pandu Puteri perlu menamatkan modul prapersetiaan serta menguasai kemahiran asas beruniform.

Mereka turut diwajibkan menyertai aktiviti atau perkhemahan, di samping lulus penilaian yang dijalankan oleh pemimpin unit serta jurulatih bertauliah.

Anugerah tersebut dianggap sebagai langkah pertama sebelum mereka boleh mara ke pencapaian lebih tinggi seperti Tali Pekeliling dan Anugerah Pandu Puteri Raja.

Akui bersemangat setelah meraih pengiktirafan itu, Jessica nekad meneruskan misi mencapai tahap tertinggi sebelum menamatkan persekolahan.

“Anugerah pertama ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha agar dapat mencapai tahap Anugerah Pandu Puteri Raja pada suatu hari nanti.

“Saya orang pertama dalam keluarga yang menyertai Pandu Puteri. Oleh itu, saya mahu lakukan yang terbaik agar dapat menjadi contoh teladan,” katanya.

Mengulas berkenaan pembahagian masa dengan pembelajaran, Jessica mengakui tidak mengalami sebarang masalah kerana aktiviti selalunya berlangsung di luar waktu sekolah.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga berikrar memastikan komitmennya terhadap aktiviti unit beruniform tersebut tidak akan menjejaskan pelajaran.

Pelajar tingkatan tiga di Sekolah Kebangsaan Kedaik Komprehensif 9 (K9), Rompin itu turut menganggap penyertaan dalam Pandu Puteri membuka matanya kepada dunia luar.

Ini kerana, sekolahnya merupakan salah sebuah daripada empat sekolah K9 di Pahang yang diwujudkan bagi menangani isu keciciran pelajar Orang Asli.

“Saya pelajar sekolah Orang Asli. Jadi, menyertai aktiviti Pandu Puteri membolehkan saya bertemu dengan ramai orang daripada pelbagai latar belakang.

“Seperti JADE Camp 2025 ini, saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu dari seluruh negara,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN