WASHINGTON – Platform media sosial TikTok akan menjadi entiti yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) selepas usaha sama dimeterai dengan firma dari negara itu, lapor agensi berita United Press International semalam.
Usaha sama dengan gergasi perisian, Oracle akan mengekalkan operasi aplikasi perkongsian video tersebut di AS, dengan majoriti ahli lembaga pengarahnya adalah warga Amerika.
Menurut White House, tiada ahli lembaga akan dipilih oleh kerajaan persekutuan, manakala Presiden Donald Trump dijangka menandatangani perintah eksekutif minggu ini yang menyokong cadangan tersebut dalam satu lagi lanjutan.
Sabtu lalu, White House pada mulanya mendedahkan bahawa operasi TikTok AS akan dikawal oleh entiti tempatan dalam perjanjian terancang untuk mengawal platform media sosial itu daripada pemilik asalnya dari China, ByteDance.
Pegawai pentadbiran yang tidak dinamakan itu menambah bahawa kerajaan AS bagaimanapun tidak akan mengambil pegangan ekuiti dalam TikTok.
Konglomerat kepintaran buatan (AI), Oracle akan menguruskan algoritma TikTok dan operasi keselamatan, tambah pegawai berkenaan. – AGENSI