fbpx
Hujan lebat dan ribut yang melanda ibu kota petang tadi mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur, sekali gus merosakkan beberapa buah kenderaan.

Pokok tumbang di 15 kawasan sekitar ibu kota, tiada kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA –  Hujan lebat dan ribut yang melanda ibu kota petang tadi mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang di sekitar Kuala Lumpur, sekali gus merosakkan beberapa buah kenderaan.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan antara pukul 3.30 petang hingga 7 malam berhubung insiden berkenaan.

“Pasukan bomba telah dikerahkan ke lokasi-lokasi terjejas bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, pemotongan pokok serta memastikan keselamatan kawasan awam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Antara lokasi terlibat adalah di bawah kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai iaitu Jalan Tempinis 3, Lorong Maarof, simpang Asasi Universiti Malaya, Jalan Medang Kapas serta Lorong Buluh Perindu.

Selain itu, kejadian turut berlaku di kawasan BBP Hang Tuah membabitkan Jalan Kebun Bunga, Jalan Cenderasari serta di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Lokasi lain termasuk Sri Desa Entrepreneur Park, Kuarters Polis Desa Aman, Desa Putra Condominium, Stadium Café Wangsa Maju, Puspakom Wangsa Maju, Jalan Langkawi Taman Setapak, Kolej Vokasional Jalan Genting Klang, Kuarters Polis Kelompok Cempaka dan Jalan Midah Tengah.

Menurut kenyataan itu, kesemua insiden ditangani dengan pantas oleh anggota bomba dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Pihak bomba juga menyalurkan bantuan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi kerja-kerja susulan di lokasi yang telah dikenal pasti.

“Pasukan bomba Kuala Lumpur akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira 30 buah kereta rosak selepas bumbung Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka di Pantai Dalam tercabut dan terbang akibat ribut sebelum menghempap kenderaan di kawasan parkir.

Insiden berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang sejak pukul 5 petang termasuk insiden pokok tumbang di Jalan Bangsar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN