fbpx
Keadaan kereta Perodua Bezza yang dipandu Mohd Fakhrurazi dalam kemalangan di persimpangan Loji Rawatan Air SAJ Semanggar, Kota Tinggi, pagi hari ini.

‘Dia ulang panggil mak, itu yang buat saya sayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Seorang warga emas tidak menyangka perubahan sikap anak angkatnya yang tiba-tiba menjadi peramah dan lebih berselera makan rupanya menjadi petanda pergi menghadap Ilahi buat selamanya.

Salimah Pit, 65, berkata, anak angkatnya, Mohd. Fakhrurazi Muda, 37, menemui ajal ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di bandar Kota Tinggi di sini.

Katanya, arwah tinggal bersamanya sejak lapan tahun lalu di rumahnya di Kampung Sri Delima selepas menjadi kawan rapat anak kandung lelakinya sehingga dianggap sebagai anak sendiri.

“Saya sempat menyapa dia pukul 6 (pagi) arwah bersiap rapi untuk ke tempat kerja. Dia memang seorang yang berdisiplin. Kalau ada mesyuarat, dia akan keluar lebih awal.

“Saya nampak dia tergesa-gesa, tapi sempat dia ulang panggil saya mak, itu yang buat saya rasa sayu. Dia bukan orang luar, saya sudah anggap dia anak kandung sendiri. Dari dulu dia panggil saya mak. Saya tak izinkan dia panggil makcik,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.

Katanya, semalam arwah sempat meluangkan masa bersamanya dan anak-anak. Mereka bermandi-manda di Pantai Batu Layar di sini.

“Dia kelihatan berselera, makan banyak dan asyik bergurau. Kami pulang kira-kira pukul 3 petang dan sepanjang hari arwah kelihatan ceria sehingga malam tadi dia asyik bergurau dengan anak,” katanya yang memaklumkan jenazah akan dikebumikan di kampung halaman arwah di Terengganu.

Dalam kejadian pada pukul 7.09 pagi itu, Mohd. Fakhrurazi maut di tempat kejadian apabila kereta Perodua Bezza dipandunya bertembung Toyota Vios dalam nahas di persimpangan Rawatan Air SAJ Semangar, di sini. Nahas turut meragut nyawa pemandu Toyota Vios, Intan Yuliana Sahir, 47. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN